Rangkaian Institusi Pendidikan PAS Akan Diawasi, Kata Mahathir
 
 
KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Kerajaan akan mengawasi rangkaian institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Pas untuk melihat lebih dekat kegiatan yang dijalankannya, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata institusi pendidikan itu termasuk taska, tadika, sekolah swasta dan kolej menjadi tempat untuk menanam perasaan benci di kalangan pelajar terhadap kerajaan.

"Ini sebenarnya bertentangan dengan Islam.

Tadika, taska dan guru agama, mereka bertanggungjawab mengembangkan pengetahun agama Islam.

"Sebaliknya mereka menggunakan kesempatan itu untuk membangkitkan perasaan benci kepada kerajaan, yang juga dipimpin oleh orang Islam...kita harus beri perhatian kepada mereka ini," katanya ketika ditemuramah dalam rancangan "Khas Bersama Perdana Menteri", yang disiarkan melalui RTM malam ini.

Beliau disoal oleh anggota panel mengenai beratus-ratus tadika, taska, sekolah swasta dan kolej yang didirikan Pas, yang dikatakan menanam budaya benci kepada kerajaan dan seolah-olah sebagai "tapak semaian bagi kegiatan ekstrimis".

Dr Mahathir berkata, peranan institusi pendidikan Pas itu tidak menguntungkan Islam kerana ia bukan mengembangkan agama Islam sebaliknya merupakan proses membentuk pemikiran kanak-kanak daripada tadika hingga ke sekolah dan universiti supaya membenci kerajaan.

"Kerana benci kepada kerajaan, mereka akan memilih parti Pas," katanya.

Perdana Menteri berkata bahawa itu bukanlah kehendak Islam.

"Yang diajar di sekolah-sekolah ini bukan agama Islam dan kita perlu melihat sebenarnya apa yang dilakukan oleh mereka," katanya.